suria

KPDNKK Rampas RM2.75 Juta Bahan Api Bersubsidi

Datuk Seri Hasan Malek
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mematahkan 82 cubaan penyeludupan bahan api bersubsidi dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM2.75 juta dalam Ops Titik yang dilancarkan pada 15 Mei lepas.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek berkata pasukan penguat kuasa bersepadu akan terus menggempur semua kawasan yang dikenal pasti, dengan tumpuan utama tindakan penguatkuasaan bersepadu adalah ke atas RON95, diesel dan gas memasak (LPG). 

"Kita akan memperhebat usaha mengesan kegiatan penyeludupan di bawah Ops Titik.

"Kita akan bergerak bersepadu dengan agensi-agensi lain seperti Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi mencegah penyelewengan berterusan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDNKK di sini, Khamis. 

Pada majlis itu, KPDNKK turut melancarkan pakaian seragam penguat kuasa baharu yang berwarna kelabu arang dengan semua anggota penguat kuasa dijangka mula memakainya dalam tempoh dua bulan lagi.

Hasan berkata kerajaan kini dalam proses mengkaji mekanisme lain untuk memerangi penyeludupan bahan api bersubsidi.

Mengenai gesaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya agensi penguat kuasa bertanggungjawab berkaitan diesel bersubsidi melakukan rombakan bagi membanteras penyeludupan bahan api ke negara jiran, beliau berkata KPDNKK sudah memulakan rombakan penempatan pegawai penguat kuasa sejak tahun lepas. 

"Saya tidak mahu pegawai-pegawai penguat kuasa tinggal terlalu lama di satu-satu tempat. Kalau boleh tiga tahun sahaja. Rombakan ini akan diteruskan dan dilipatgandakan," katanya. 

Sementara itu, Hasan bersedia membantu SPRM berhubung laporan beliau didakwa campur tangan tangan dalam pinjaman RM32 juta yang diberikan oleh Bank Rakyat kepada peniaga permaidani, Deepak Jaishikin. 

"Kita bertindak atas dasar, undang-undang dan mengikut peraturan yang sedia ada," katanya tanpa enggan mengulas lanjut.

Isnin lepas, Tan Sri Sabbaruddin Chik mendakwa khidmatnya sebagai pengerusi Bank Rakyat tidak disambung gara-gara permohonan pinjaman oleh Deepak.

Sementara itu, Hasan berkata KPDNKK akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang masih berdegil menjual dua jenis coklat Cadbury yang mengandungi DNA khinzir (porcine) dengan menggunakan logo Halal. 

Beliau berkata pemeriksaan KPDNKK terhadap 175 premis termasuk kedai bebas cukai mendapati dua jenis coklat jenama itu tidak lagi dijual. 

Mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, beliau berkata individu yang menjual dua jenis coklat Cadburry mengandungi DNA khinzir dengan logo Halal boleh didenda RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi syarikat pula, ia akan didenda RM5 juta kerana penyalahgunaan logo Halal. 

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menggantung sijil pengesahan Halal dua produk coklat Cadbury dan jika peniaga masih berdegil, kita akan teruskan rampasan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata KPDNKK, Jakim dan Kementerian Kesihatan akan mengadakan satu mesyuarat tertutup esok untuk menyelaraskan tindakan penguatkuasaan terhadap pengeluar Cadbury.
KPDNKK, Ops Titik

Artikel Lain