suria

Surat Terbuka Dyana Sofya

Dyana Sofya

TELUK INTAN: Calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud pada malam Khamis memberikan 'surat terbuka'nya untuk rakyat di kawasan Parlimen itu.

Beliau berkata, rupa parasnya sebenarnya langsung tidak penting dalam pilihan raya kecil yang baginya amat penting ini.

"Saya tidak masuk DAP untuk menyertai pertandingan ratu cantik. Saya menyeru orang di Teluk Intan untuk menilai saya melalui nilai, prinsip dan impian saya untuk Malaysia yang lebih baik.

"Saya mahu memenangi pilihan raya ini bukan kerana rupa paras, tapi kerana kebolehan saya untuk membawa perubahan dalam landskap politik Malaysia di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam Khamis.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana, 27, akan bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong.

Di dalam surat terbuka itu juga, Dyana berkongsi pengalamannya berkempen selama hampir dua minggu cukup mengujakan walaupun tempoh itu memerah tenaga untuk meraih sokongan pengundi. 

Antara lain, beliau juga mahu membuktikan kepada rakyat Malaysia mengenai isu perkauman di negara ini seharusnya diatasi kerana impiannya mahu menyatu-padukan rakyat Malaysia.

Calon DAP itu turut menafikan statusnya sebagai peguam bukanlah satu penipuan seperti yang didakwa malah menolak dakwaan beliau adalah pengkhianat Melayu.
Katanya, ini termasuk dakwaan beliau dilabel sebagai ekstremis Melayu apabila dikaitkan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

Menurut Dyana, segala taktik kotor dan jahat yang didakwa dilakukan oleh pihak lawan tidak akan mematahkan semangat beliau untuk memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia.

"Ini terutama mereka yang terpinggir dan didiskriminasi. Saya tidak akan merasa lemah semangat dan saya tidak akan menjadi pengkhianat kepada rakyat Malaysia," katanya. 

Artikel Lain