suria

Tiga Pelajar UIAM Parah Akibat Kemalangan Kini Stabil

Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) menziarahi mangsa kemalangan Mohd Amirul Hairi Aduka, 21, di Hospital Sungai Buloh di sini, Isnin.

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang parah dan kritikal akibat kemalangan bas Ahad, kini dilaporkan stabil.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Abdul Latif Abdul Rahman berkata ketiga-tiga pelajar itu sudah dipindahkan ke wad biasa, manakala mangsa yang cedera ringan dibenarkan keluar wad.

Beliau berkata pemandu bas terbabit juga dilaporkan sihat serta bebas daripada sebarang pengambilan dadah dan alkohol.

"Pemandu terbabit disahkan negatif dalam saringan air kencing dan alkohol serta disahkan sihat. Dakwaan orang ramai bahawa beliau tidak sihat adalah tidak benar," katanya di sini, Isnin.

Sementara itu, Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur ASP Mohd Fadhli Daud berkata siasatan pihaknya mendapati ketika kejadian pemandu itu juga didapati tidak mengantuk atau pitam seperti yang didakwa.

"Berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu cuba mengelak sebuah kereta yang menukar laluan secara mengejut sebelum terbabas ke tapak pembesaran jalan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, tiga pelajar UIAM dilaporkan kritikal selepas bas universiti yang dinaiki hilang kawalan lalu terjunam ke tempat takungan air sebuah tapak pembesaran jalan di KM25.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini.

Lima pelajar lagi dilaporkan parah manakala 23 yang lain termasuk pemandu bas hanya mengalami cedera ringan.

UIAM, pelajar, kritikal, kemalangan

Artikel Lain