"Saya yakin sekatan ini ada kaitan dengan persediaan pilihan raya negeri yang dijangka diadakan tahun depan dan persiapannya sedang giat dijalankan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa beliau tidak dibenarkan memasuki Sarawak pada petang Isnin untuk menghadiri satu perjumpaan dengan pimpinan parti negeri berkenaan.
"Saya dimaklumkan oleh seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen bahawa saya disenaraihitamkan dari masuk ke negeri itu," katanya.
Justeru, Rafizi menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat untuk mencabar penyalahgunaan kuasa tersebut.
Rafizi pernah dilarang memasuki Sarawak bersama dengan Naib Presiden PKR, Tian Chua untuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian pada 25 Mac lalu.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri bertanding jawatan Presiden pada pemilihan PKR, Rafizi menjawab ringkas: "Saya sendiri tidak tahu mengenai keputusan itu dan enggan mengulas lebih lanjut. Biarlah kita dengar penjelasan dari beliau sendiri (Anwar)."


