suria

Polis Pantau Perjudian Siber Haram

Temasya Piala Dunia merupakan peluang besar bagi kegiatan perjudian haram terutama dalam talian.
PETALING JAYA: Polis Bukit Aman mengadakan risikan siber dan pemantauan di Internet bagi aktiviti perjudian haram terutama dengan bahang kehangatan temasya Piala Dunia FIFA 2014.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat(D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, sewaktu Piala Dunia sebelum ini empat tahun lalu, jumlah pertaruhan mencecah hampir separuh bilion ringgit.

Beliau berkata, polis bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan laman web dan kemudian permainan judi haram.

"Kami juga berkongsi maklumat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang di negara-negara lain," katanya.

Pada 2010, polis menahan 227 orang, termasuk anggota sindiket dan mereka yang terlibat dalam pertaruhan.

"Kami menyerbu 270 premis di seluruh negara selama kira-kira sebulan dan merampas wang tunai berjumlah RM110,124.

"Sindiket-sindiket tersebut dipercayai mengumpul RM419.2 juta wang pertaruhan menerusi transaksi secara langsung dan dalam talian," katanya.

Dengan Piala Dunia yang menjadi peluang perjudian haram yang besar, Roslee berkata, polis sentiasa berjaga-jaga dalam mengesan kegiatan tersebut.

Beliau berkata, operasi yang dikenali sebagai "Op Soga" diadakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti perjudian haram.

"Kami menjalankan Op Soga malah semasa perlawanan Euro 2012, dengan rampasan wang tunai berjumlah RM78,160.

"Kami menahan 100 orang dan pertaruhan itu berjumlah RM49.9 juta," tambahnya.

Mengenai penglibatan pelajar dalam aktiviti perjudian, Roslee berkata, polis telah melantik pegawai perhubungan di sekolah untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa pendidikan.

Dalam pada itu, Roslee menggesa ibu bapa supaya memainkan peranan mereka bagi mengelakkan anak-anak mereka dari terjebak dengan perjudian haram.

Artikel Berikut

Artikel Lain