suria

Karpal Singh Pemimpin Yang Tegas, Peguam Yang Komited - Najib

Datuk Seri Najib Razak.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai memberi penghormatan kepada mendiang Karpal Singh yang terbunuh dalam nahas jalan raya hari ini berkata dalam tempoh kerjaya meliputi lima dekad, kebolehan bekas pengerusi DAP itu menjadikan beliau seorang pembangkang disegani.

"Dalam politik, beliau seorang pemimpin tegas; dalam bidang undang-undang, beliau seorang peguam yang komited," kata perdana menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri. Beliau kini dalam lawatan rasmi ke Turki.

Najib berkata beliau terkejut mendengar berita pemergian anggota Parlimen Bukit Gelugor itu.

Karpal Singh maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV)yang dinaikinya dan sebuah lori di Km306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurong di Kampar, Perak awal pagi ini. Beliau berusia 74 tahun. 

Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya Michael Cornelius, 39.
 
"Dalam keadaan yang sukar ini, ingatan kita adalah bersama anggota keluarga mereka yang terkorban dalam nahas itu. Saya mengucapkan takziah kepada mereka. Kami berdoa semoga penumpang yang lain segera sembuh," kata Najib.

Pembantu rumah Karpal Singh, seorangh wanita warga Indonesia, cedera parah sementara anak lelaki pemimpin DAP itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan C. Selvam, 27, tidak mengalami kecederaan.

Pemandu lori, Abu Mansor Mohd, 45, dari Petaling Jaya cedera ringan sementara dua penumpang kenderaan itu, Nur Azlina Ahmad, 23, dan seorang kanak-kanak perempuan, Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah, 4, tidak cedera.

Awal pagi tadi, Najib berkata beliau mendapat berita mengenai pemergian Karpal Singh setibanya di Ankara. 

"Saya baru tiba di Ankara apabila mendapat berita bahawa YB Karpal Singh terbunuh dalam kemalangan jalan raya.
 
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang," kata perdana menteri menerusi catatan dalam laman Twitter beliau.
 
Lawatan Najib ke Turki ialah atas undangan rakan sejawatannya, Recep Tayyip Erdogan. 


Najib Razak, Karpal Singh

Artikel Lain