suria

Belasungkawa: Karpal Singh 1940-2014

Karpal Singh.
AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaikinya dan lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar awal pagi Khamis.

Karpal Singh, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius, 40-an, maut di tempat kejadian.

Turut berada dalam kereta itu adalah pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia yang cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki pemimpin DAP itu, Ram Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV tidak mengalami kecederaan.

Karpal yang dilahirkan di George Town, Pulau Pinang, pada 28 Jun 1940, meninggalkan balu, Gurmit Kaur dan lima orang anak.

Keadaan MPV yang dinaiki Karpal selepas terlibat dengan kemalangan awal pagi Khamis.


Salah seorang anaknya,Gobind Singh Deo merupakan Ahli Parlimen Puchong.

Karpal mendapat pendidikan awal di St. Xavier's Institution,George Town, Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Singapura pada 1966.

Kerjaya politik Karpal bermula pada tahun 1970 apabila beliau menyertai DAP. 

Beliau memenangi kerusi DUN di Kedah pada tahun 1974. 

Beliau  menyertai  Parlimen buat pertama kali pada tahun 1978 sebagai Ahli Parlimen Jelutong, Pulau Pinang dan kekal di kawasan tersebut sehingga 1999. 

Beliau kembali ke Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2004 setelah memenangi kerusi Bukit Gelugor. 

Karpal kekal di kerusi tersebut pada PRU 2008 dan 2013.

Beliau merupakan antara peguam tersohor di negara setelah terlibat dalam pelbagai kes berprofil tinggi seperti pertuduhan dadah Barlow & Chambers pada tahun 1986.

Beliau turut terlibat dalam perbicaraan kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Pada 2005, teksi yang dinaiki Karpal terbabit kemalangan dengan sebuah kereta yang menyebabkan beliau lumpuh.

Pada waktu itu beliau dalam perjalanan ke rumahnya di Pulau Pinang.

Beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP sementara menunggu rayuan atas tuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak pada 2009.


belasungkawa, Karpal Singh, DAP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain