suria

Pelajar Saman Universiti Antarabangsa Albukhary

Sebahagian daripada enam pelajar AiU bersama peguam mereka membuat tuntutan saman ke atas pihak pengurusan universiti tersebut di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Selasa. Tuntutan saman itu dibuat selepas mereka dimaklumkan bahawa pihak pengurusan universiti itu gagal memberi notis dan alasan yang munasabah mengenai penutupan universiti berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan oleh Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta. -fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Enam pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) pada Selasa memfailkan saman terhadap universiti itu kerana dakwaan gagal memberi notis penutupan AiU dalam tempoh yang ditetapkan oleh Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Plaintif terdiri daripada Mohd Raimy Fahmy Mohd Radzi, 22; Muhamad Hanif Ahmad Fauzi, 21; Hanif Hafifi Mahali, 21; Mohamad Hanif Kamaruddin, 21; Muhammad Syafiq Abd Shamad, 21, dan Farhan Sani Safiyuddin, 20.

Saman itu yang difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini oleh peguam plaintif, Fatimah Idris, menamakan AiU sebagai defendan pertama manakala Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Fatimah memberitahu pemberita semua plaintif menuntut supaya defendan mematuhi Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang memperuntukkan bahawa defendan perlu mengeluarkan notis penutupan universiti dalam tempoh setahun sebelum ia ditutup.

"Dalam tempoh itu, ia dapat memberi ruang kepada pelajar-pelajar untuk merancang apa yang perlu dilakukan. Tapi dalam kes ini tiada sebarang notis bertulis dikeluarkan, sebaliknya mereka hanya tahu secara lisan bahawa AiU akan ditutup Jun ini pada Februari lalu," katanya.

Operasi universiti yang ditubuhkan oleh Yayasan Albukhary itu dilapor akan ditutup Jun ini.

AiU dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana beroperasi secara wakaf iaitu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penuntut yang rata-rata daripada golongan susah dari seluruh dunia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain