suria

Dua Remaja Ditahan Bantu Siasatan Kes Lelaki Maut Ditetak

Zakaria Pagan.
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua remaja bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki mati ditetak sekumpulan empat individu di Program Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata suspek pertama, 22, ditahan di Jinjang manakala suspek kedua, 17, ditahan di Kepong pada malam Sabtu selepas dikenal pasti berada di tempat kejadian ketika insiden berlaku pada 2.20 petang.

"Mereka dikenal pasti tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam sidang berita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Isnin.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berdekatan.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di Hospital Selayang akibat kecederaan parah di bahagian tangan, selain cedera di kepala dan lutut.

Kes itu, yang disyaki ada kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain