suria

Abdul Wahid Mentor Kedua iM4U

Abdul Wahid Omar.
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar menjadi individu kedua dilantik sebagai mentor program 1Malaysia For Youth (iM4U).

Beliau merupakan mentor kedua selepas pelakon antarabangsa Tan Sri Michelle Yeoh dilantik tahun lepas.

Ahmad Wahid, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad, berkata beliau bersedia menjadi mentor dalam membantu golongan belia dalam bidang pendidikan dan pengurusan korporat.

Katanya beliau menerima pelantikan itu kerana didorong oleh peranan iM4U sebagai landasan yang amat baik dalam membantu golongan muda berjaya dalam bidang masing-masing.

"Saya mahu lebih mendekati golongan remaja dan saya amat bersedia dalam memberi inspirasi kepada golongan muda supaya mereka dapat berkhidmat kepada negara," katanya kepada wartawan selepas pelantikan di sini, Sabtu.

Ahmad Wahid berkata seseorang remaja itu akan mampu lebih berjaya jika mereka menceburi bidang yang mereka minati.

"Generasi muda pada hari ini amat bertuah kerana banyak kemudahan yang telah disediakan, di samping kemajuan teknologi internet dan media sosial. Saya melihat (fenomena) ini sebagai satu kelebihan (kepada mereka).

"Ini juga memudahkan kita untuk mendekati mereka dan membimbing mereka untuk berjaya di masa hadapan walau apapun bidang yang mereka pilih," katanya.

Sementara itu, Pengarah khidmat Koporat iM4U, Azlan Rudy Malik berkata Abdul Wahid dipilih kerana pengalaman beliau yang cemerlang dalam bidang kewangan dan korporat yang dapat memberi inspirasi dan model kepada golongan muda.

Ditanya mengenai sasaran keahlian tahun ini, Azlan Rudy berkata pihaknya menyasarkan penambahan 900,000 keahlian daripada 1.1 juta ahli sekarang.

Bagi mencapai sasaran tersebut, Azlan berkata iM4U bakal menjadikan media sosial dan internet sebagi medium utama dalam setiap program.

Hasil ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, program iM4U dilancarkan pada 2012 sebagai platform untuk belia Malaysia melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelaan dan pembinaan negara bangsa demi manfaat masyarakat.
 

Artikel Lain