suria

Polis Sahkan Kakitangan ISN Cuba Bakar Diri

Mohan Singh Tara Singh.
PETALING JAYA: Polis mengesahkan bahawa seorang kakitangan Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur cuba membakar diri di dalam sebuah ambulan.

Ketua Daerah Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu ambulan mengugut untuk membakar dirinya kerana tidak terpilih untuk menghadiri temu duga di peringkat jabatannya.

"Siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut bertindak demikian kerana kecewa tidak terpilih untuk menghadiri temu duga di jabatannya," katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Mohan berkata, suspek berjaya dipujuk keluar dari ambulan terbabit menerusi bantuan isterinya.

"Lelaki tersebut diberi jamin polis selepas ditahan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Jelas Mohan, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba membunuh diri.

Terdahulu, beliau berkata, kira-kira pukul 9.31 pagi polis menerima panggilan telefon daripada seorang kakitangan ISN yang memberitahu seorang lelaki sedang mengurung diri di dalam sebuah ambulan bersama dengan sebuah tong minyak petrol.

Artikel Lain