suria

Mesyuarat Pakar Cari Jalan Salur Maklumat Kotak Hitam Ke Pangkalan Data

Kotak hitam.

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menganjurkan mesyuarat pakar teknologi maklumat dalam industri penerbangan bulan depan bagi mencari jalan membolehkan maklumat daripada kotak hitam sesebuah pesawat disalur terus ke pusat pangkalan data bumi.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, mesyuarat itu akan membincangkan kaedah bagi menaik taraf sistem kotak hitam tersebut.

Mesyuarat itu yang belum ditentukan tarikh, diketuai dan diselenggara oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan disokong sepenuhnya oleh MCMC.

"Malaysia menjadi negara pelopor untuk mesyuarat itu dan berharap ada input baik diterima memandangkan ITU sendiri mempunyai keanggotaan 190 negara," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Penganjuran seminar itu susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dan sehingga kini usaha mengesan pesawat tersebut yang sistem komunikasi dan transpondernya dimatikan secara sengaja, menemui jalan buntu.

Jumaat merupakan hari ke-28 pencarian, usaha ditumpukan untuk mengesan kotak hitam pesawat memandangkan jangka hayat bateri kotak hitam itu hanya berbaki dua hari sebelum isyaratnya padam.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang termasuk anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lalu sebelum hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. 

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan Laut Andaman serta Lautan Hindi selepas analisis data satelit menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Pada 24 Mac lepas, iaitu hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, susulan analisis data satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.

Minggu lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta ITU membangunkan sistem tercanggih untuk memudahkan penghantaran data penerbangan dalam masa nyata susulan kehilangan pesawat MAS itu.

Ketika berucap di Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia di Dubai itu, Ahmad Shabery berkata, kerajaan Malaysia percaya bahawa data daripada pesawat termasuk daripada kotak hitam boleh dihantar secara berterusan dan disimpan di pusat data di bumi.

Kotak hitam amat penting bagi sesebuah pesawat kerana alat itu merekod dan menyimpan maklumat komunikasi serta data penerbangan pesawat berkenaan.

Artikel Lain