suria

Kurangkan Aktiviti Luar Semasa Jerebu - Subramaniam

Dr Subramaniam.

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihat agar mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa berada di dalam rumah berikutan keadaan berjerebu yang boleh menjejaskan kesihatan. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam juga meminta orang ramai supaya menggunakan penutup hidung dan mulut sekiranya terpaksa melakukan aktiviti di luar kawasan rumah bagi menjaga kesihatan diri.

Katanya, mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru yang kronik perlu segera ke klinik sekiranya keadaan bertambah teruk.

"Kementerian meningkatkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu (Jangkitan Saluran Pernafasan Atasan (URTI), asma dan sakit mata) di klinik-klinik sentinel di negeri yang dilanda jerebu.

"Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150, kumpulan berisiko dinasihatkan supaya berada di dalam rumah dan mengurangkan aktiviti di luar rumah termasuklah pelajar sekolah," katanya dalam kenyataan, di sini Jumaat.

Dr Subramaniam turut menasihatkan orang ramai supaya banyak minum air kosong dengan sekurang-kurangnya lapan gelas sehari di samping membasuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan serta menghadiri aktiviti luar.

"Selain itu pastikan udara di dalam rumah atau bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok.

"Apabila memandu gunakan penyaman udara dengan memilih operasi kitaran udara dalaman," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu di laman web: http://www.infosihat.gov.my/infosihat/isusemasa/jerebu.php dan http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

dr subramaniam, jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Lain