suria

KPDNKK Umum 13 Barangan Terkawal Sempena Krismas

Hasan Malek
Hasan Malek
Hasan Malek

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan penetapan harga maksimum runcit bagi 13 jenis barang di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

Senarai barang tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, telur ayam Gred A, telur ayam Gred B, telur ayam Gred C, tomato dan cili benggala hijau.

Harga kawalan barang itu berbeza bagi setiap negeri dan akan berkuatkuasa dari 23 Disember hingga 27 Disember di 146 kawasan dan daerah di seluruh negara.

"Peniaga diminta mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan. Individu yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu dengan menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan kementerian boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau dikompaun sehingga RM50,000 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Bagi syarikat, mereka boleh didenda maksimum RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek di sini pada Rabu.

Beliau berkata peniaga juga diminta mempamerkan harga siling setiap barangan yang dijual menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan ia dilihat oleh pengguna.

Mereka yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan denda hingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000.

Pegawai penguatkuasa daripada KPDNKK juga akan turun padang bagi memastikan skim kawalan harga tersebut dilaksanakan sepenuhnya, kata Hasan.

Beliau turut menggesa pengguna memaklumkan kepada pihak kementerian sekiranya terdapat peniaga yang enggan mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web, www.kpdnkk.gov.my dan sebarang aduan boleh dibuat melalui talian hotline, hotline 1 800 886 800.

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain