suria

Rusuhan di Singapura: Malaysia Sentiasa Dalam Kesiagaan Kawal Pintu Masuk

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia sentiasa dalam kesiagaan mengawal semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada individu yang dikehendaki dalam kejadian rusuhan di Singapura Ahad lepas melarikan diri atau bersembunyi ke negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata pihak berkuasa Malaysia dan Singapura juga sentiasa bertukar maklumat dalam isu keselamatan termasuk menyekat dan menahan sesiapa pun yang dikehendaki kedua-dua negara berjiran itu.

"Baru-baru ini juga kita telah mencapai persetujuan dengan Singapura dan Indonesia supaya negara-negara yang berjiran ini memberi amaran dan maklumat awal supaya berjaga-jaga dan untuk mengesan mana-mana penjenayah yang melarikan diri ke negara lain," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Wan Junaidi bagaimanapun berkata sehingga kini beliau masih belum menerima maklumat sama ada terdapat individu yang terbabit rusuhan itu telah melarikan diri ke Malaysia.

Dalam insiden Ahad malam itu di Singapura, warga India Sakthivel Kumaravelu, 33, terbunuh selepas dilanggar sebuah bas di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire, mencetuskan rusuhan melibatkan sekitar 400 orang awam yang merosakkan sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera di kawasan Little India.

Ditanya mengenai laporan media bahawa seorang rakyat Malaysia ditahan dan dibebaskan berhubung insiden itu, Wan Junaidi berkata ia adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa republik itu.

"Jika ada rakyat kita buat salah, itu terpulang pada Singapura untuk mengambil tindakan. Begitu juga pada rakyat mereka. Kita tetap mengambil tindakan jika mereka menjadi pesalah trafik atau penjenayah," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain