suria

Ibu Enam Anak Mengaku Tidak Salah Sebabkan Kematian Pembantu

ALOR SETAR: Seorang ibu kepada enam anak pada Ahad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pekerjanya yang merupakan mualaf antara awal Oktober hingga awal November lepas.

Sharom Bee Ismail, 43, peniaga kedai makan di Langkawi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku faham dengan pertuduhan apabila ditanya oleh jurubahasa mahkamah selepas dibacakan kepadanya dan meminta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Sharom Bee dituduh melakukan perbuatan itu ke atas Nai Ah Nung @ Nur Salina Abdullah, 18, di nombor 270, Kampung Belanga Pecah, Langkawi pada awal Oktober hingga awal November lepas.

Mahkamah menetapkan 29 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes berikutan permohonan Pendakwa Raya Mohd Rizal Fadzil untuk mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.

Suami tertuduh berumur 36 tahun ditahan reman oleh polis pada 18 November lepas bagi membantu siasatan dan akan dikemukakan sebagai saksi perbicaraan manakala tertuduh ditahan sehari sebelum itu.

Gadis mualaf tersebut meninggal dunia semasa dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Langkawi pada 8.40 malam 18 November lepas. - BERNAMA

Artikel Lain