suria

PRK Sungai Limau: Perang Mulut Warnai Hari Mengundi

YAN: Berbaki kurang 2 jam sebelum tempoh pengundian Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau ditutup pada pukul 5 petang, penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS kekal bersemangat merayu undi di saat-saat akhir.

Sehingga berita ini ditulis pada pukul 3.30 petang, kemeriahan suasana 'perang mulut' antara kedua-dua parti tersebut masih berterusan sejak proses pengundian bermula pukul 8 pagi Isnin.

Tinjauan di beberapa pusat mengundi seperti Sekolah Menengah Agama Naddzah, Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Aik Min Simpang Tiga Sungai Limau serta Sekolah Kebangsaan Dulang mendapati suasana agak tegang namun terkawal.

Penyokong kedua-dua pihak dengan gelagat masing-masing bersorak sambil mengibarkan bendera parti dan poster dengan harapan dapat meraih undi di saat-saat akhir.

Turut dikesan penyokong parti pembangkang turut menggunakan kanak-kanak sebagai perayu undi dengan membantu mengibarkan berdera parti dan memakai pakaian yang mempunyai logo kepartian.

Tindakan kumpulan penyokong yang berdiri di kiri dan kanan jalan raya juga secara tidak langsung mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di hampir kesemua 17 pusat mengundi.

Artikel Lain