suria

Ahli Parlimen Bukit Bendera Dakwa Telefon Bimbit Digodam

Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari membuat laporan polis mendakwa nombor telefon bimbit beliau telah digodam dengan mesej 'dihantar' ke nombor yang tidak diketahui.

Selepas membuat laporan polis, Zairil yang baharu dilantik sebagai ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) berkata beliau menyedari masalah ini semasa berkempen di Gurun, Kedah, pada petang Sabtu.

"Pada kira-kira pukul 7.45 petang, saya mula menerima SMS masuk dan panggilan bertanyakan siapa saya.

"Tidak lama kemudian seseorang menunjukkan kepada saya SMS yang telah "dihantar" oleh saya, di mana saya percaya nombor telefon bimbit saya telah digodam," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani, Ahad.

SMS yang dihantar dari nombor telefonnya berbunyi: "Saya adalah Melayu. Dan saya mengharapkan sokongan tuan-tuan untuk mengetuai DAP Kedah."

Zairil berkata beliau tidak pasti berapa banyak SMS yang dihantar keluar tetapi beliau telah menerima kira-kira 30 balasan dan panggilan daripada nombor yang tidak diketahui.

"Saya masih menerima panggilan sehingga hari ini.

"Saya percaya beberapa individu yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mencipta masalah bagi Pakatan memandangkan tiga pemimpin PAS, Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar, Pengarah Pilihan Raya PAS Sungai Limau, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan ADUN Pengkalan Kundor Datuk Pharolrazi Mohd Zawawi juga mempunyai masalah yang sama minggu lepas ," kata beliau.

Artikel Berikut

Anwar Beritahu PAS GST Efisyen

Artikel Lain