suria

Polis Rampas Lapan Kenderaan Bernilai RM600,000, Sembilan Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis merampas lapan buah kenderaan bernilai RM600,000 selepas menahan sembilan termasuk seorang wanita yang disyaki aktif melakukan jenayah samun kenderaan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata kesemua mereka yang berusia awal 20-an dan 30-an itu ditahan dalam serbuan berasingan di hotel bajet di Jalan Kuchai Lama dan Desa Seri Hartamas pada Ahad dan Isnin lepas.

"Kumpulan ini aktif sejak awal tahun ini, giat melakukan kegiatan mereka dengan menggunakan modus operandi iaitu melanggar belakang kereta mangsa dan mengacukan pedang untuk menakutkan mangsa sebelum melarikan kenderaan terbabit.

"Mereka turut menyamun kereta mangsa selepas mangsa memasuki pagar rumah dan berada di perkarangan parkir," katanya kepada pemberita dalam sidang media, Khamis.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadap mereka yang ditangkap itu membawa kepada rampasan lapan buah kenderaan iaitu Honda CRV, Honda City, Honda Civic, Toyota Vios, Proton Waja, Audi Q5, Toyota Unser dan BMW X5.

"Kita rampas kenderan-kenderaan ini di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang diletakkan di parkir pusat membeli-belah dan parkir kondominium.

"Kita percaya kenderaan itu diletakkan di parkir berkenaan sementara menunggu pembeli. Siasatan juga akan dijalankan bagi melihat sama ada kumpulan ini mempunyai kaitan dengan sindiket menyeludup kereta mewah bernilai RM2.07 juta yang ditumpaskan 8 Oktober lepas di sebuah kawasan perindustrian di Klang," katanya.

Hasil serbuan di hotel bajet berkenaan turut merampas sebilah pedang samurai, sebilah pisau, sebatang kikir, sebatang besi panjang, topeng muka dan sebuah jam tangan, katanya.

"Lima daripada sembilan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dadah, samun dan pelbagai jenayah lain," katanya.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 20 kes samun kereta menggunakan modus operandi seperti itu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Muhammad Azlee berkata polis kini sedang memburu seorang lagi individu iaitu Chia Chin Hock, 30, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zahril Azly Zuklifli di talian 017-4589997. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain