suria

Polis Tahan 60 Orang, Keluar 257 Saman Trafik Dalam Operasi Bersepadu

GEORGE TOWN: Polis menahan 60 orang termasuk 47 warga Myanmar dan Indonesia atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Operasi Bersepadu hampir enam jam di sekitar daerah Barat Daya di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata polis telah mengeluarkan 257 saman trafik dan 15 buah motosikal disita melibatkan pemeriksaan 302 motosikal dan 100 buah kereta.

Beliau berkata operasi tersebut yang bermula 11.30 malam tadi hingga 5 pagi ini melibatkan kawasan Bayan Baru, Bayan Lepas, Sungai Ara, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

"Warga asing ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, salah guna permit kerja dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya warga asing terbabit terdiri daripada 42 lelaki dan lima wanita berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an.

Beliau berkata 13 rakyat tempatan termasuk seorang wanita ditahan bagi siasatan berkaitan kes dadah. -BERNAMA

Artikel Lain