suria

15 Rumah Kampung Hangus, Lebih 80 Penduduk Terjejas

GEORGE TOWN: Sebanyak 15 buah rumah kayu hangus dalam kebakaran di Kampung Sungai Nibong Tengah, Bayan Baru di sini petang Sabtu.

Pegawai Zon Bayan Lepas, Mohd Azizi Kamaruddin berkata, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 4.13 petang dan sampai tiga minit di tempat kejadian bersama lima jentera.

Bercakap kepada pemberita di sini Sabtu, Mohd Azizi berkata, pasukan bomba dan penyelamat mengambil kira-kira dua jam untuk memadamkan api marak itu berikutan struktur rumah berkayu dan bersambung antara satu sama lain.

Katanya, punca kebakaran itu masih disiasat dan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Saksi kejadian, Abdul Wahab Ahmad, 58 berkata dia hanya mengetahui kebakaran itu apabila ternampak orang lari keluar dalam keadaan cemas.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas dan api terus marak," katanya.

Mangsa Noor Sham Abdul Rahman, 38, berkata dia mendapat tahu kebakaran itu selepas menerima panggilan daripada jiran pada pukul kira-kira 4.30 petang dan tiada orang berada dalam rumahnya ketika kejadian.

"Semua hangus dalam kebakaran...sebuah van dan motosikal. Ini rumah mak saya dan tiada orang ketika itu kerana mak saya beraya di Parit Buntar," katanya.

Seorang lagi mangsa, Abdul Aziz Jaafar, 51, berkata rumah itu adalah milik abangnya.

Rumah itu hangus bersama sebuah van dan tiga buah motosikal dan anggaran kerugian adalah kira-kira RM80,000.

"Saya tak sempat selamatkan apa-apa pun kerana api merebak dengan cepat sekali," katanya.

Norhayati Ahmad Fuad, 43 berkata dia hanya sempat menyelamatkan dua orang anaknya yang berumur satu tahun dan lima bulan serta dokumen peribadi.

"Ketika itu anak-anak tengah tidur. Saya tak rasa apa-apa atau terhidu bau kebakaran. Tiba-tiba dengar orang menjerit suruh lari dan lihat orang lari keluar dalam keadaan cemas. Saya cuma dapat selamatkan anak-anak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain