suria

ATM Tingkat Aset Di Perairan Pantai Timur Sabah Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melalui Op Sanggah, akan meningkatkan aset di perairan pantai timur Sabah menjelang sambutan Aidilfitri kali ini untuk menghadapi sebarang ancaman di musim perayaan.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata ia akan menyaksikan penambahan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Di lautan banyak melibatkan kapal dan aktiviti maritim, jadi kita perlu bersiap sedia dalam menghadapi sebarang situasi," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka di sini Rabu.

Beliau menarik perhatian bahawa pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta pesawat peronda maritim sememangnya membuat tinjauan bagi memastikan keselamatan perairan negara terjamin.

Zulkifeli turut mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa tempoh tiga minggu yang diberi kepada penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah untuk keluar dari negara ini sebagai satu 'kesilapan'.

Beliau berkata: "Kita guna waktu itu untuk buat kajian kerana kita tahu di pantai timur Sabah ramai yang berketurunan Sulu...kita buat kajian sikap, bagaimana pandangan mereka, masa rundingan berlaku, kita guna untuk bercakap dengan rakyat Malaysia berketurunan Sulu.

"Yang jelasnya mereka sesekali tidak pernah dan tak setuju terhadap pencerobohan ini dan sentiasa menyokong 100 peratus tindakan kerajaan."

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang turut serta pada sidang media itu, berkata isu risikan yang lemah dan dakwaan kesilapan tiga minggu berkenaan tidak wujud.

"Itu cara kita, pendekatan kita, budaya kita selesaikan masalah. Kita tengok peristiwa Memali dan Sauk, semuanya akan bermula dengan rundingan dan perbincangan.

"Kita tak mahu lebih banyak pertumpahan darah dan kerosakan harta benda berlaku. Jika rundingan itu gagal, barulah kita ambil tindakan," tegasnya.

Insiden pencerobohan bersenjata pengganas mulai 12 Feb lalu itu mengorbankan 10 anggota keselamatan negara. - BERNAMA

Artikel Lain