suria

Dua Beradik Cederakan Pembantu Rumah Kekal Jalani Hukuman Penjara

PUTRAJAYA: Dua wanita adik beradik, yang mencederakan dan melakukan penderaan seksual terhadap pembantu rumah mereka dari Indonesia, akan terus menjalani hukuman penjara selama lima tahun lapan bulan apabila permohonan mereka untuk mendapatkan semakan semula kehakiman ditolak pada Jumaat.

Wong Choy Lin, 41, dan Choy Kin, 39, gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan semakan semula kehakiman berhubung keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Mereka memohon mendapatkan semakan semula kehakiman bagi keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memberi kebenaran kepada mereka untuk merayu terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadap mereka.

Seseorang tertuduh perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memohon mendapatkan semakan semula kehakiman sekiranya kesnya berasal daripada Mahkamah Majistret.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Datuk Ramly Ali, sebulat suara menolak permohonan dua wanita itu.

"Kami dapati tidak ada keadaan khas yang mewajarkan kami menggunakan budi bicara untuk meluluskan semakan semula kehakiman itu," katanya.

Panel itu turut dianggotai Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Kedua-dua wanita itu disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya pada Oktober 2011 atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan mengasari Hanif Muawanah Muhyion, 25, dari Surabaya dengan niat untuk mencabul kehormatannya antara November 2003 dan September 2004 di sebuah rumah di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Mereka dihukum penjara dua tahun kerana mengasari wanita itu dengan memasukkan objek seperti biskut, pisang dan botol ke dalam alat sulitnya dan lapan bulan penjara kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadapnya.

Mahkamah Majistret itu memerintah mereka menjalani hukuman tersebut secara serentak.

Mereka mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman penjara itu, manakala pihak pendakwa mengemukakan rayuan balas kerana menganggap hukuman itu tidak memadai.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain