suria

Malaysia, Indonesia Setuju Kerjasama Atasi Jerebu

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bersetuju bekerjasama untuk mencari penyelesaian kekal kepada masalah jerebu yang menjejaskan rantau ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel.

"Malaysia menyuarakan harapan agar pegawai kerajaan dari kedua-dua negara akan sentiasa bekerjasama dalam memantau dan memeriksa titik panas, terutamanya semasa musim kemarau bagi mencegah kebakaran hutan dan gambut yang menyumbang kepada masalah jerebu."

Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia selepas bertemu Menteri Alam Sekitar Indonesia Dr Balthasar Kambuaya, di sini Khamis.

Pertemuan beliau dengan rakan sejawatan dari Indonesia itu berlangsung dengan mesra.

Palanivel turut menyerahkan kepada Balthasar sepucuk surat daripada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kepada Presiden Indonesia Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Dalam pertemuan itu, Palanivel memaklumkan Balthasar bahawa Malaysia sedia menawarkan bantuan kepada Indonesia dalam usaha memadamkan kebakaran hutan dan gambut terutamanya di tengah Sumatera, termasuk menghantar anggota bomba dan pasukan pengeboman air selain pasukan pembenihan awan.

"Kami sebenarnya sangat bimbang dengan kekerapan berulangnya jerebu rentas sempadan ini.

"Apa yang penting ialah untuk kita bekerjasama dengan Indonesia. Apabila berlaku saja masalah jerebu, kita perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini segera. Jadi, kita memerlukan penyelesaian jangka pendek dan panjang," katanya.

Palanivel berkata Malaysia mengharapkan kerjasama dan tindakan muktamad Indonesia, bagi jangka panjang dan pendek, dalam menangani keadaan, sambil Malaysia bersedia menyalurkan segala bentuk bantuan teknikal termasuk menghantar tenaga manusia, peralatan, pasukan pengeboman air dan melakukan pembenihan awan di tengah Sumatera atau mana-mana kawasan lain di Indonesia.

Beliau berkata menteri Indonesia itu menyatakan persetujuan bersyarat kepada sebarang bentuk bantuan teknikal yang ditawarkan Malaysia dalam usaha memadamkan kebakaran.

"Bagaimanapun, Balthasar berkata beliau akan berbincang dengan rakan setugasnya di kementerian lain yang berkaitan seperti kementerian pertanian dan kementerian perhutanan untuk menyediakan maklumat berkaitan bantuan yang akan mereka mohon."

Mengenai dakwaan terdapat lapan syarikat Malaysia terlibat dalam pembakaran terbuka di semua ladang sawit mereka di Riau, yang dikatakan menjadi punca jerebu itu dan menjejaskan dengan teruk kualiti udara, Palanivel berkata hanya empat daripada syarikat berkenaan adalah dari Malaysia dan kesemuanya menafikan sebarang pembabitan dalam aktiviti itu.

Syarikat Malaysia, katanya, mengamalkan pembakaran sifar dalam aktiviti penanaman semula mereka dan tiada aktiviti penanaman semula oleh syarikat berkenaan tahun ini.

Dalam pertemuan itu, Balthasar turut memaklumkan Palanivel bahawa Indonesia menugaskan 2,600 anggota tentera ke Riau untuk memadamkan kebakaran dan sehingga kini, pasukan bencana itu menggunakan 80 bom air untuk memadamkan api.

Kedua-dua menteri bersetuju bertemu dengan kerap untuk berbincang dan mencari jalan bagi menamatkan masalah itu, yang berlaku setiap tahun. - BERNAMA

Artikel Lain