suria

Mekanik Didakwa Cuba Bunuh Anggota Polis

SHAH ALAM: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Rabu atas tuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan memandu kereta dengan laju dan tidak berhenti di sekatan jalan raya, Februari lepas.

Muhammad Fakhrul Radzi Mohd Murad, 32, didakwa cuba membunuh Koperal Umar Ojek di sekatan jalan raya di tepi Jalan Persiaran Bistari, Seksyen 7, di sini, pada pukul 9 malam, 26 Februari lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Syahida Zainal membenarkan Muhammad Fakhrul Radzi dibebaskan dengan jaminan RM3,500 serta seorang penjamin dan menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqeeb Lizalman Norden Zamery. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain