suria

Dua Beranak Ditahan Terbabit Jual Loteri Tanpa Lesen

ROMPIN: Umpama pepatah 'bapa borek anak rintik', dua beranak ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menjual loteri tanpa lesen di kedai makan milik mereka, di sini.

Lelaki warga emas berusia 70 tahun itu dan anak lelakinya berusia 38 tahun diberkas petang Ahad oleh sepasukan polis daripada Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Menurut Pegawai Turus D7 ASP Sampornak Ismail, dalam serbuan 5.40 petang di Bandar Baru Rompin itu, polis turut merampas tiga telefon bimbit, dua mesin pencetak, 38 keping kertas mencatatkan nombor loteri dan wang tunai RM5,249.

"Mereka yang dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak lima bulan lepas, berlindung di sebalik perniagaan kedai makan.

"Mereka dipercayai memulakan perniagaan haram itu di premis berkenaan seawal 8 pagi hingga 12 tengah malam," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua beranak itu mampu memperoleh ratusan ribu ringgit setiap bulan hasil kegiatan berkenaan.

Kedua-duanya kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - BERNAMA

Artikel Lain