Beri Peluang Umno Ketuai BN P.Pinang - Semasa | mStar

Beri Peluang Umno Ketuai BN P.Pinang

KEPALA BATAS: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang wajar memberi peluang kepada Umno untuk mengetuai barisan kepimpinan parti itu bagi memulihkan kepercayaan rakyat di negeri ini.

Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata satu pembaharuan perlu dilakukan bagi memastikan BN masih relevan dan diterima baik oleh penduduk negeri ini.

"Pada pandangan peribadi saya, kepimpinan BN negeri wajar diserahkan kepada Umno kerana ini sudah masuk dua penggal (selepas pilihan raya umum ke-12 dan ke-13) MCA dan Gerakan di Pulau Pinang ditolak oleh pengundi Cina.

"Jadi adalah wajar sekiranya kepimpinan tertinggi BN memberi peluang kepada Umno negeri untuk menerajui BN Pulau Pinang sebagai satu cara untuk memulihkan semula sokongan rakyat termasuk kaum Cina kepada BN," katanya di sini, Ahad.

Beliau ditemui pemberita pada majlis jamuan meraikan petugas jentera pilihan raya BN yang membantu kemenangan BN di kerusi Parlimen Kepala Batas dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan.

"Memang secara tradisinya jawatan pengerusi BN negeri diberikan kepada Gerakan tetapi kita tidak harus terikat dengan tradisi itu...realitinya B Nnegeri perlu diberi suntikan semangat baharu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Azmin Sokong Khalid Jadi MB Selangor

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil