suria

Pakatan Pembangkang Masih Bertelagah Pembahagian Kerusi di Sarawak

KUCHING: Pakatan pembangkang di Sarawak masih bertelagah mengenai pembahagian kerusi Parlimen yang akan ditandingi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ini berikutan terdapat pertindihan tuntutan antara DAP dan PAS.

Pada sidang akhbar di sini hari ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan masih memerlukan masa untuk menyelesaikan soal pembahagian kerusi di negeri ini.

"Ada beberapa kawasan yang masih terlibat dalam pertindihan tuntutan antara DAP dan PAS," katanya.

Hanya kawasan Parlimen dipertandingkan di Sarawak dalam PRU13 berikutan pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri telah diadakan pada 2011.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata sehingga kini apa yang dapat disahkan PKR akan bertanding di 11 kawasan Parlimen.

Kawasan berkenaan ialah Limbang yang akan diwakili Baru Bian, Saratok (Ali Biju), Batang Lupar (Abang Zulkifli Abang Engkeh), Hulu Rajang (Abun Sui Anyie), Baram (Roland Engan), Lubok Antu (Nicholas Bawin), Kanowit (Thomas Laja), Selangau (Joshua Jabeng), Santubong (Zulhusdi Hol), Betong (Cecilia Siti Una) dan Petra Jaya (Ahmad Nazib Johari).

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Baru, yang juga Pengerusi PKR Sarawak, berkata parti itu akan bertanding di sekurang-kurangnya 13 kawasan Parlimen tetapi menghadapi masalah daripada PAS dan DAP yang turut menuntut untuk bertanding di kawasan yang sama.

Penamaan calon bagi PRU13 ditetapkan pada 20 April manakala pengundian pada 5 Mei -BERNAMA

Artikel Lain