suria

Rakyat Malaysia Ditahan Di Lubnan Tinggalkan Pengajian Kolej Ogos Lepas

TROLAK: Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Lubnan, telah meninggalkan pengajiannya pada Ogos lepas.

Pengurus Kolej Yayasan Felda Kampus Trolak Norhana Samsudin berkata pelajarnya Mohammed Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, berhenti daripada meneruskan pengajian peringkat sijil kursus Juruteknik Sistem Komputer.

"Beliau memasuki kolej ini pada 2011 dan merupakan seorang pelajar yang baik. Beliau tidak mempunyai masalah akademik atau masalah disiplin. Tiada luar biasa mengenai pelajar itu," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata pihaknya tidak pasti sebab Mohammed Razin berhenti daripada pengajiannya yang mengambil masa setahun setengah dan sekiranya masih belajar, beliau kini menjalani latihan praktikal selama tiga bulan.

Beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa seorang lagi rakyat Malaysia yang ditahan, Rafik Mohd Ariffin, 28, di Lubnan merupakan bekas pelajar kolej itu.

"Setakat ini tiada pelajar nama berkenaan, memang tidak pernah dengar dan tiada," katanya. Norhana berkata sekiranya Mohammed Razin menghabiskan pengajiannya, beliau sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen yang dijadual berlangsung pada akhir tahun ini.

Selain itu menurut rakan Mohammed Razin yang enggan dikenali, pelajar berkenaan merupakan seorang yang pendiam dan berpegang kuat kepada agama.

"Beliau seorang pendiam, sering kaitkan sesuatu dengan al-Quran dan kisah-kisah Nabi," katanya.

Difahamkan, ibu bapa Mohammed Razin ada menghubungi pihak kolej baru-baru ini selepas pelajar itu dipercayai hilang dan tidak dapat dikesan.

Media hari ini melaporkan bapa Rafik merupakan bekas tentera manakala Mohammed Razin yang berasal dari Kuala Lumpur pernah menuntut di sebuah kolej di Trolak, Perak. Pada Khamis lepas, akhbar Lubnan, Al-Joumhouria' memetik sumber pihak keselamatan sebagai berkata warga Malaysia itu ditahan oleh pasukan perisikan tentera atas dakwaan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Siasatan mendapati dua lelaki Malaysia itu direkrut ke dalam Al-Qaeda oleh seorang lagi rakyat Malaysia sebelum dibawa ke Yemen di mana mereka menemui anggota lain kumpulan itu.

Al-Joumbouria berkata dua bulan lalu, kedua-dua suspek Malaysia itu cuba memasuki Syria menerusi Turki atas misi jihad bagi melakukan serangan berani mati. BERNAMA

Artikel Lain