suria

Polis Temui 111 Peluru Hidup

GEORGE TOWN: Polis menemui 111 butir peluru hidup dari sebuah rumah di Solok Angsana, Ayer Itam di sini Khamis minggu lepas.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata dalam serbuan pada pukul 5.30 petang di rumah itu, polis turut menahan tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 37 hingga 40 tahun.

"Serbuan dibuat sejurus kita dapat maklumat yang mengatakan ada dadah disorokkan di situ. Kesemua suspek masih ditahan reman untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata polis turut menemui beberapa paket bungkusan dadah jenis heroin, pil eramin dan ketamin di lokasi berkenaan.

Katanya polis masih menyiasat sama ada peluru pistol jenis 9mm itu digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah atau jenayah lain.

Dalam kes berasingan, seorang pekerja kontrak menjumpai sekotak peluru ketika sedang melakukan kerja-kerja mengubah suai siling pejabat di Juru, dua hari lepas.

Mazlan berkata kotak yang berisi 49 butir peluru hidup jenis 9mm jatuh dari celah siling berkenaan.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan peluru berkenaan telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk siasatan lanjut.

Katanya kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang jika bersabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara kes pertama turut disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain