Penerbangan Haji Pertama MAS Berlepas Dengan 447 Jemaah - Semasa | mStar

Penerbangan Haji Pertama MAS Berlepas Dengan 447 Jemaah

SEPANG: Penerbangan haji pertama Malaysia Airlines (MAS) berlepas 1.05 tengah hari Isnin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini ke Madinah, Arab Saudi dengan 447 jemaah.

Penerbangan melalui pesawat MH8000 itu dijangka sampai di Madinah, pukul 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).

Kesemua jemaah haji tersebut yang tiba dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, kira-kira jam 12 tengah hari, turut diberi taklimat ringkas, sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 747-400.

Ketua Jabatan Haji dan Sewa Khas MAS Hisham Haron berkata MAS mengendalikan 33 penerbangan haji di seluruh negara menuju ke Jeddah dan Madinah mulai hari ini hingga 19 Okt nanti, yang membabitkan 14,000 jemaah.

Daripada jumlah itu, 17 penerbangan adalah dari KLIA, lima masing-masing dari Pulau Pinang dan Johor Baharu, dan dua masing-masing dari Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

"Ciri penerbangan ini dibuat khas untuk memberi keselesaan kepada jemaah haji di mana kita turut memaparkan panduan ibadat haji dan umrah, selain bacaan ayat suci al-Quran dan nasyid.

"Menu dalam pesawat juga adalah menu khas yang dipilih oleh pihak Tabung Haji. Minuman juga dihidangkan berterusan bagi mengelakkan jemaah haji berasa dahaga sepanjang perjalanan," katanya kepada pemberita sebelum penerbangan itu berlepas.

Hisham berkata selain petugas yang secukupnya di lapangan-lapangan terbang yang terlibat, MAS turut menyediakan 20 petugas berpengalaman untuk membantu melicinkan urusan penghantaran jemaah haji itu di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, dan 12 lagi di Jeddah dan Madinah untuk fasa pertama dan 41 untuk fasa kedua.

Fasa kedua, iaitu pesawat yang membawa pulang jemaah dari Arab Saudi dijadual pada 1-29 November nanti, juga melalui 33 penerbangan, katanya.

Sementara itu seorang daripada jemaah yang berlepas hari ini, Murni Mohd Johari, 69, teruja untuk menunaikan ibadah haji buat kali kedua selepas menunaikannya kali pertama pada tahun 90-an, walaupun keadaan kesihatannya tidak begitu baik.

Murni yang berkerusi roda semasa ditemui berkata beliau menunggu selama tujuh tahun untuk sekali lagi menunaikan rukun Islam kelima itu, dan tidak menyangka diberi peluang sekali lagi.

"Makcik menghidap kencing manis, jadi mudah penat. Tapi di sana makcik yakin dapat menunaikan ibadah ini dengan lengkap," katanya.

Seorang lagi jemaah, Syafee Ismail, 18, berkata beliau tidak menyangka dan amat bersyukur kerana diberi peluang menunaikan haji pada usia muda.

Pelajar Politeknik Shah Alam dalam jurusan Kejuruteraan Elektronik Perubatan itu berkata beliau sedar bukan mudah untuk terpilih sebagai tetamu Allah, justeru begitu teruja untuk menunaikan ibadah itu.

"Saya ingin mendoakan kedua ibu bapa saya masuk syurga, juga untuk seluruh keluarga dan kawan-kawan agar berjaya dalam hidup," katanya yang ditemani ibunya Rosnah Abu Bakar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pemuda PAS Sokong Sekat Klip AntiIslam

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain