suria

Meraikan Legasi Armstrong

PETALING JAYA: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) merancang untuk mengadakan pameran bagi meraikan kehidupan dan legasi angkasawan Neil Armstrong.

Agensi tersebut berharap untuk mengadakan pameran itu menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Dr Mustafa Din Subari berkata, beliau amat menghargai dedikasi Armstrong dalam menerokai angkasa yang menjadi inspirasi kepada dirinya dan juga rakan-rakan lain.

"Beliau adalah lelaki hebat yang memberikan segala-galanya untuk pembaruan dalam penerokaan angkasa. Mana-mana negara yang menjalankan program angkasa menghormati beliau, tidak terkecuali juga Malaysia," katanya.

Mengimbas kembali pertemuannya dengan Armstrong, angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menyifatkan ia sebagai pengalaman paling berharga dalam hidupnya.

"Dia tidak seperti yang dijangka. Beliau seorang yang suka merendah diri," kata Dr Muszaphar.

Beliau berkata Armstrong menjadi controh kepada dirinya ketika masih kecil dan berharap legasinya boleh diteruskan untuk menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

"Beliau membuka ruang kepada penerokaan angkasa dan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk merealisasikan impian mereka," katanya.

Armstrong, manusia pertama yang menjejak kaki ke bulan pada 20 Julai 1969 meninggal dunia ketika berusia 82 tahun selepas mengalami komplikasi daripada pembedahan pintasan jantung pada Ahad.

Presiden Persatuan Angkasawan Malaysia, Faiz Kamaludin yang menghadiri ceramah dikendalikan oleh Armstrong menyifatkan beliau sebagai lelaki bijak.

"Bagi dirinya, menjadi lelaki pertama sampai ke bulan adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya tetapi bagi kita, ia adalah detik sejarah pernah dilakukan manusia," katanya.

Rakyat di negara ini turut memberikan penghormatan terakhir kepada angkasawan dari Amerika Syarikat itu.

Artikel Lain