suria

Wakil Jana Niaga Tidak Hadir Proses Timbang Tara Hutang Unisel

SHAH ALAM: Proses timbang tara isu hutang Universiti Selangor (Unisel) dan syarikat pengurusan asrama universiti itu, Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), terpaksa ditangguhkan ke esok hari kerana wakil JNSB tidak hadir.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Muhammad Khusrin Munawi yang mengetuai panel timbang tara itu, berkata wakil JNSB hanya memaklumkan mereka tidak dapat hadir perjumpaan yang dijadualkan petang tadi sebelum proses timbang tara dimulakan.

"Kita tidak boleh buat sebarang keputusan sebab wakil JNSB tidak hadir dan maklumkan kepada kita pada saat-saat akhir, jadi hari ini saya teruskan dengan berjumpa wakil Unisel dan mendengar penerangan dari mereka," katanya ketika ditemui di luar pejabatnya, di sini petang Isnin.

Muhammad Khusrin berkata beliau juga telah mengarahkan pegawainya menghubungi JNSB dan meminta mereka hadir esok bagi meneruskan proses timbang tara.

Turut kelihatan keluar dari bilik perjumpaan itu ialah Naib Canselor Unisel Prof Dr Anuar Ahmad, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof Madya Zainal Abidin Kidam dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan Perancangan Strategik Prof Dr Mohamed Daud.

Mengulas lanjut, Muhammad Khusrin berkata Unisel bersedia menjelaskan hutang mereka namun memerlukan jaminan daripada JNSB agar membenarkan penutut Unisel masuk ke asrama masing-masing.

"Kita perlu adakan perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini, jadi mereka (JNSB) perlu hadir proses timbang tara," katanya.

Sementara itu, wakil JNSB Ketua Residen Penghuni Asrama Noor Ashikeen Mohd Stap ketika dihubungi, berkata beliau tidak mengetahui mengenai ketidakhadiran wakil JNSB dan memaklumkan ia merupakan keputusan pihak atasan syarikat.

Akhbar melaporkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan syarikat JNSB.

Hutang itu termasuk tunggakan bayaran melibatkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik kerajaan negeri itu.

Rentetan isu itu, kerajaan Selangor pada Rabu lepas mengumumkan sebuah panel timbang tara yang diketuai oleh Muhammad Khusrin dibentuk bagi menyelesaikan masalah antara Unisel dengan JNSB. BERNAMA

Artikel Lain