suria

Tindakan Pantas Dua Kanak-Kanak Selamatkan Rumah Daripada Terbakar

MELAKA: Tindakan pantas dua kanak-kanak berjaya menyelamatkan rumah mereka daripada hangus dalam kebakaran di Taman Pandan Jaya di sini, Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi, Mohd Syafiq Haikal Suhaimi, 10, dan adiknya Mohd Syamil Hakimi, 6, berada di ruang tamu rumah nenek mereka sebelum menyedari kebakaran di stor berdekatan dapur rumah teres setingkat itu.

Ketika kejadian, nenek kedua-dua kanak-kanak itu Yuaini Abdul Rahman, 60, tiada di rumah dan mereka hanya tinggal bersama ibu saudara, Nurin Sabri, 25.

Mohd Syafiq Haikal ketika ditemui berkata dia dan adiknya yang melihat api mulai marak kemudian bertindak mengejutkan ibu saudara mereka yang sedang tidur di dalam sebuah bilik.

"Saya dan adik mengetuk pintu bilik dan menjerit api! api!" katanya.

Sementara itu, Nurin berkata dia terus bergegas ke bahagian dapur dan mendapati api telahpun marak di dalam bilik stor.

"Jiran-jiran yang menyedari kebakaran datang membantu memadamkan api dan menghubungi bomba," katanya.

Pegawai Operasi Bomba Jalan Kubu Raman Alnago berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.40 pagi sebelum tiba 14 minit kemudian bersama lima anggota dan sebuah jentera.

Katanya api berjaya dipadamkan dalam tempoh tiga minit dan bilik stor yang menyimpan perkakas rumah seperti tilam, kusyen dan kerusi musnah terbakar.

Kerugian dianggarkan berjumlah RM10,000 dan punca kebakaran masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain