suria

Kerajaan Pusat Peruntukkan RM1.4 Bilion Tingkat Taraf Hidup Rakyat Miskin

PADANG SERAI: Kerajaan persekutuan serius membantu rakyat yang memerlukan dan untuk itu sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan tahun ini melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata pelbagai program diatur khususnya bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat yang daif, miskin dan kurang mampu, sekaligus membasmi kemiskinan.

"Program ini kelak akan melibatkan lebih 500,000 penduduk di pinggir bandar dan luar bandar," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Daerah Kulim di Padang Sekolah Kebangsaan Pagar Museh dekat sini, Ahad.

Lebih 2,000 penduduk sekitar hadir.

Sebanyak 11 agensi kerajaan dan swasta menyertai gerai pameran sempena karnival sehari itu.

Sementara itu, Heng berkata perpaduan rakyat di negara ini perlu dikekal dan dipertahan kerana ia telah menjadi lambang kekukuhan ekonomi dan keutuhan keselamatan negara.

Pada majlis itu Heng turut menyampaikan bantuan barangan keperluan dapur kepada lebih 50 penduduk miskin sekitar kawasan itu, manakala 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Pagar Museh di sini, mendapat bantuan beg sekolah daripada kementerian itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain