suria

Rosmah Kongsi Pandangan Pada Persidangan Asia Pasifik Mengenai Bakat Semula Jadi Di Dubai

DUBAI: Memupuk dan mendidik kanak-kanak yang memiliki bakat besar dan semula jadi boleh membawa kepada kebaikan umat manusia, kata isteri Perdana Menteri Malaysia Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam ucapan pembukaan beliau pada Persidangan Asia Pasifik Mengenai Bakat Semulajadi ke-12 di sini Sabtu, Rosmah berkata dunia dalam abad ke-21 berdepan isu seperti perubahan iklim, perang terhadap keganasan, masalah sosial, keselamatan makanan, kemiskinan dan ketaksamaan jantina.

"Cabaran dan tanggungjawab kita ialah menyediakan segala kemudahan serta infrastruktur bagi memastikan kanak-kanak yang berbakat besar dan mempunyai kebolehan luar biasa di kalangan kita mencapai matlamat lebih tinggi dalam hidup.

"... Kita hidup pada zaman di mana memiliki kebolehan yang sesuai dalam institusi kita adalah penting untuk menyelesaikan masalah abad ke-21," katanya pada sesi pembukaan persidangan itu, yang menarik kehadiran lebih 2,000 peserta dari seluruh dunia.

Persidangan lima hari di Dubai International Convention and Exhibition Centre serta dihoskan Hamdan Bin Rashid Al Maktoum Award for Distinguished Academic Performance itu dirasmikan Timbalan Pemerintah Dubai merangkap Menteri Kewangan UAE Sheikh Hamdan Bin Rashid Al Maktoum.

Selepas majlis perasmian, Rosmah yang dijemput pihak penganjur menghadiri persidangan itu berdasarkan penglibatan serta pencapaian beliau dalam program Permata Negara, mengadap Sheikh Hamdan di Istana Zabeel di sini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rosmah berkata kanak-kanak berbakat besar dan semulajadi memiliki kebolehan luar biasa yang jarang ditemui serta dikenal pasti dalam kumpulan rakan sebaya mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata memiliki bakat besar dan semulajadi semata-mata tidak menjamin kejayaan seseorang itu.

"Pengenalpastian awal individu berbakat ini, dilengkapi persekitaran yang sesuai, sokongan dan pendidikan boleh membantu mereka untuk menyumbang serta menjadikan negara kita lebih baik," katanya.

Rosmah juga melahirkan kegembiraan apabila melihat lebih banyak negara kini menyedari serta memberi perhatian dan pendidikan sewajarnya kepada kanak-kanak yang berbakat besar serta memiliki kebolehan luar biasa.

Beliau juga berkata adalah penting bagi anggota keluarga, pendidik, penyelidik serta sektor awan dan swasta untuk sama-sama berbincang dan mencari kaedah terbaik bagi mengenal pasti serta memupuk bakat tersendiri ini.

"Jika dibiarkan, kita mungkin berisiko berdepan kehilangan peluang untuk membangunkan potensi individu kanak-kanak berbakat ini sepenuhnya," kata Rosmah yang dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan itu, Ahad.

Bertema 'Memupuk Bakat, Membina Potensi', persidangan itu bertujuan mencapai empat objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran berhubung pendidikan kepada kanak-kanak berbakat di rantau Teluk dan seterusnya; membina pusat ilmu dan memperkukuh penglibatan masyarakat terhadap pendidikan kepada yang berbakat.

Persidangan itu juga berhasrat mewujudkan prinsip untuk sistem pendidikan bagi kanak-kanak berbakat besar dan semula jadi di seluruh dunia, selain merangka pelan tindakan dalam usaha mempercepat pelaksanaan program pendidikan untuk mereka di seluruh rantau Teluk dan seterusnya. - BERNAMA

Artikel Lain