suria

Pemandu Treler Maut, Dua Parah Dalam Kemalangan Lebuh Raya

IPOH: Seorang maut, manakala dua lagi cedera parah apabila dua buah kenderaan tercampak ke dalam gaung dalam satu kemalangan di km 325 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah awal hari Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Somsak a/l Din Keliau berkata, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai pemandu treler C.Chandra Kumar, 53, berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Mangsa yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemandu lori yang dikenali sebagai Mohd Zaini Mohd Desa, 44, berasal dari Triang, Pahang, cedera parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan manakala kelindannya Bukhari Yusof, 28 berasal dari Kuala Ketil Kedah yang juga cedera parah dirawat di Hospital Tapah.

Kejadian berlaku pada pukul 1.15 pagi apabila treler muatan batu dipandu Chandra Kumar yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh dikatakan hilang kawalan lalu merempuh belakang lori yang dipandu Zaini.

Kedua-dua lori itu kemudian terbabas dan tercampak ke dalam gaung sedalam 15 meter di tepi lebuh raya berkenaan, katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain