suria

Polis Syak Sistem Brek Punca Kemalangan Bas Jemaah Tabligh

GEORGE TOWN: Polis percaya kegagalan sistem brek menjadi punca bas yang membawa 44 jemaah tabligh warga Myanmar terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Jalan Tun Sardon, di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata rumusan awal itu berdasarkan kesan brek sepanjang tujuh meter di atas jalan raya di tempat kejadian.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan laporan lengkap siasatan berhubung kejadian itu dijangka siap dalam minggu ini," katanya ketika dihubungi, di sini Isnin.

Katanya bas berkenaan telah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pagi Isnin.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, bas tersebut sedang membawa kumpulan jemaah berkenaan ke Masjid Daerah Barat Daya, Sungai Rusa untuk program ijtimak yang diadakan selama tiga hari mulai Ahad, sebelum dilapor hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik serta terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter.

Akibat kejadian tersebut, bumbung bas tercabut hingga menyebabkan beberapa penumpangnya tercampak keluar.

Seorang daripada mereka dikenali sebagai Abdul Jatba, 47, maut selepas dipercayai dihempap bas sehingga tangan kanannya putus.Seorang lagi Soe Myint, 26, yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang meninggal dunia pada malam Sabtu susulan kecederaan parah yang dialaminya.

Siasatan sebelum ini mendapati bas berkenaan tidak mempunyai cukai jalan sejak tiga bulan lepas manakala pemandu bas terbabit mempunyai lima rekod kesalahan trafik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain