suria

Lima Anak Syarikat PNB Yang Dilupus Bukan Teras

KOTA KINABALU: Pelupusan lima anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) hanya melibatkan syarikat kecil yang berasaskan perniagaan bukan teras, kata Presiden and Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau berkata pelupusan anak syarikat berkenaan merupakan langkah wajar bagi PNB untuk memberi lebih fokus terhadap syarikat-syarikat besarnya yang lain.

"Syarikat-syarikat bukan teras ini, yang kita rasa memang sesuai untuk dilepaskan kerana sepatutnya mereka diuruskan oleh pengurusan yang lebih kecil," kata beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan 10 syarikat, masing-masing lima syarikat di bawah Kumpulan PNB dan selebihnya di bawah Khazanah, akan dilupuskan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata pelupusan itu bertujuan membolehkan kesemua syarikat itu diserah milik kepada syarikat Bumiputera lain melalui tender terbuka.

"Ini kerana kita sebagai sebuah institusi yang menguruskan dana yang sebegitu besar sudah pasti, syarikat-syarikat yang bukan teras tadi sepatutnya kita lepaskan kepada usahawan Bumiputera," kata beliau.

Hamad Kama Piah berkata demikian kepada pemberita selepas membuat kunjungan terima kasih di tapak pameran Minggu Saham Amanah Malaysia 2012 (MSAM 2012) di Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada Jumaat.

Beliau juga menyatakan pelepasan lima syarikat ini juga termasuk syarikat-syarikat yang bernaung di bawah anak syarikat PNB.

Hamad Kama Piah berkata PNB juga telah menganalisis pencapaian anak-anak syarikatnya dan turut menggalakkan mereka memberi lebih fokus kepada perniagaan teras masing-masing.

"Jadi kita turut menasihatkan mereka untuk melepaskan perniagaan bukan teras mereka sedikit demi sedikit," kata beliau sambil menambah pelupusan lima syarikat ini akan dibuat secara telus melalui tender terbuka tidak lama lagi.

"Kita juga mengharapkan dengan pelupusan ini, kita mampu beroperasi secara lebih efisien dan lebih baik dari sebelum ini," tambah beliau.

Mengenai MSAM 2012, beliau berkata pendekatan PNB untuk mendekati masyarakat melalui program MSAM adalah satu usaha yang wajar.

"Jumlah pengunjung yang diterima oleh kami jelas menggambarkan masyarakat di Sabah memang ingin mengenali lebih dekat mengenai perniagaan PNB serta anak-anak syarikat kami," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain