suria

Tekong & Pembantu Terjun Laut, 34 PATI Indonesia Ditahan

JOHOR BARU: Seorang tekong bot dan pembantunya nekad terjun ke dalam laut ketika bot bergerak pantas bagi mengelakkan diri ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana menyeludup manusia awal pagi Sabtu.

Tindakan itu diambil selepas usaha menghalang bot APMM daripada mengejar mereka dengan membuang beg-beg pakaian dan barangan lain milik 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang mereka seludup, gagal.

Kejadian yang berlaku di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi pada lebih kurang 12.40 pagi itu telah menyebabkan pendatang terbabit kerugian kerana ada beg-beg yang dibuang turut mengandungi wang tunai.

"Anggota kita terpaksa melompat ke dalam bot tersebut untuk memberhentikannya," kata Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan dalam satu kenyataan di sini.

Pemeriksaan APMM mendapati pendatang tanpa izin itu berusia antara setahun hingga 43 tahun, termasuk empat perempuan dewasa dan dua kanak-kanak.

APMM katanya masih berusaha mengesan tekong dan pembantunya yang masih hilang itu dengan menghantar beberapa aset lagi ke lokasi tersebut.

APMM menyita bot fiber berukuran sembilan meter panjang, empat meter lebar dan dua enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda yang digunakan dalam kejadian tersebut.

"Semua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat APMM Johor Baharu untuk disiasat mengikut Seksen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Pindaan 2010," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain