suria

Unit Risikan Jenayah KL Disusun Semula

KUALA LUMPUR: Bagi merealisasikan program Kepolisan Bertaraf Antarabangsa (WCP), polis Kuala Lumpur yang telah dipilih menjadi perintis program itu akan melaksanakan beberapa pendekatan di bawah aspek pengurusan prestasi termasuk menyusun semula unit risikan jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata unit itu kelak akan dilengkapi penganalisis berkelayakan untuk menyokong aktiviti penyiasatan di samping mempunyai pasukan penyiasat khas yang mempunyai kemahiran asas dalam fotografi dan cap jari untuk menyelesaikan kes rompakan dan pecah rumah.

Beliau berkata selain itu, saluran alternatif juga akan disediakan kepada orang ramai yang ingin membuat aduan tanpa perlu mengunjungi balai polis.

"Polis juga akan memberi respons pantas atau mengemas kini sebarang aduan orang ramai melalui sistem khidmat pesanan ringkas," katanya ketika membentangkan program WCP baru-baru ini.

Mohamad berkata prestasi pegawai-pegawai penyiasatnya juga akan sentiasa dipantau bagi memastikan mereka mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan. Daripada segi logistik, kemudahan dan infrastruktur pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan untuk menambah kereta-kereta peronda MPV dan balai polis bergerak terutama di kawasan-kawasan panas dan di saat-saat genting.

"Kita sasar untuk menambah keperluan kenderaan-kenderaan peronda ini bagi memberikan impak lebih baik kepada masyarakat. Kehadiran mereka di kawasan panas akan memberi gambaran bahawa kita memang berusaha keras bagi memastikan keselamatan dan keamanan sentiasa terjamin pada setiap masa," katanya.

Mohmad berkata turut disasarkan ialah untuk meningkatkan 50 peratus kehadiran polis di lokasi panas pada masa-masa kritikal dan mengurangkan 'waktu respons' iaitu kurang dari lapan minit.

Katanya PDRM juga akan berusaha meningkatkan tahap kecekapan penyiasatan dengan mengguna pakai kesemua aset yang ada antaranya kamera litar tertutup (CCTV) serta bekerjasama dengan premis-premis perniagaan.

"Dalam hal ini, kami sasar peningkatan 50 peratus kehadiran polis di lokasi-lokasi panas, kerjasama dengan lebih 1,000 premis perniagaan yang mempunyai rakaman CCTV untuk membantu siasatan polis di ibu negara," katanya. Mohmad berkata aspek ketiga yang digariskan di bawah program itu adalah pembangunan modal insan di kalangan anggota PDRM yang dilihat aspek terpenting kerana ia berkaitan dengan cara penyampaian dan perkhidmatan pasukan itu kepada masyarakat.

"Pada saya aspek ini paling penting kerana tidak guna kita ada peralatan canggih dan sebagainya, tapi dari sudut penyampaian perkhidmatan, kita tenggelam. Kita mahu masyarakat tahu bahawa kita ada pegawai yang dapat membantu mereka, menyelesaikan masalah mereka dalam apa juga perkara," katanya.

Beliau berkata sejajar dengan perkara itu, PDRM memutuskan untuk memilih mereka yang terbaik di kalangan terbaik mengisi 300 jawatan dalam 15 peranan paling kritikal dalam sesebuah kontinjen.

Beliau berkata dari segi kepolisan komuniti pula, program itu akan bergerak lebih proaktif dengan memperbanyakkan saluran komunikasi dengan pelbagai pihak yang berkepentingan antaranya masyarakat tempatan, media, pelancong dan sebagainya.

"Kita akan pelbagaikan saluran komunikasi ini antaranya melalui Twitter, Facebook dan sebagainya untuk merapatkan hubungan antara ketua-ketua polis dengan masyarakat.

"Kita juga akan adakan program kejiranan selamat di balai-balai bagi merapatkan hubungan polis dengan komuniti sekaligus dapat mengurangkan kadar jenayah," katanya sambil menambah polis juga menyasarkan untuk menambah bilangan polis-polis bantuan dan sukarelawan.

Mohmad berkata bagi mengetahui maklum balas orang ramai terhadap konsep kepolisan komuniti ini, satu kajian kepuasan akan dijalankan oleh badan bebas yang ditubuhkan.

"Di bawah aspek kepolisan komuniti ini, kita juga akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Dalam Negeri untuk mengenal pasti dan membersihkan lima kawasan hitam setiap tahun di KL dan juga (bekerjsama) dengan RELA," katanya.

Beliau berkata kewujudan program WCP ini adalah hasil kajian dan lawatan mengenai amalan kepolisan di New York dan Philadelphia di Amerika Syarikat serta Sweden, England, Hong Kong dan Singapura.

"Kita ambil sedikit model-model kepolisan mereka dan hasilnya, kita adaptasi bagi merangka program WCP.

"Dengan langkah sebegini, kita berhasrat memperbaiki kedudukan kita (Malaysia) dari tangga ke-79 daripada 130 negara (tahun lepas) kepada tangga ke-20 pada tahun 2020, dari segi negara paling selamat untuk diduduki," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain