suria

Tiada Keperluan Pinda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan - Nazri

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan bagi kerajaan untuk meminda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan berhubung bidang kuasa kehakiman di negara ini.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mahkamah khususnya di peringkat tinggi berfungsi secara bebas serta tidak sekali-kali bertindak sebagai ejen undang-undang Persekutuan.

"Doktrin pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman sebagai ciri asas dalam Perlembagaan Persekutuan juga tidak terjejas dengan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan 1988.

"Perkara ini juga telah diputuskan dalam kes PP lawan Kok Wah Kuan apabila Hakim Besar Sabah dan Sarawak menyatakan bahawa pindaan asal Fasal (1) Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan tidak bermaksud bahawa mahkamah-mahkamah ini hanya menjadi ejen yang tunduk secara mekanikal kepada setiap perintah dan kehendak undang-undang Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersedia untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang untuk membentuk majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat bagi meminda Perlembagaan Persekutuan supaya mengembalikan kuasa kehakiman kepada badan kehakiman.

Selain itu Mohamed Nazri berkata, dalam melaksanakan tugas mereka, hakim-hakim melakukan pelbagai fungsi dan mentafsir serta melaksanakan berbagai undang-undang.

"Jadi Perkara 121 bukanlah dan tidak boleh menjadi sumber tunggal peranan badan kehakiman di negara ini.

"Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya iaitu Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, serta mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan," katanya.

Artikel Lain