suria

Ibu Tunggal Dipenjara 11 Bulan Simpan Harta Curi

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal enam anak dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyimpan harta curi.

Tertuduh, Rohayu Hamzah, 33, didakwa melakukan perbuatan itu pada 25 Dis tahun lepas di jalan besar Kampung Pengkalan Kubur, Kampung Raja, Besut.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Disember lepas.

Mengikut fakta kes, pada tarikh tersebut, dari pukul 8.50 pagi hingga 9.45 pagi, wanita itu yang merupakan penganggur dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta bernombor pendaftaran DAU9657, jenis Proton Waja milik Azman Kasim dengan mengetahui harta tersebut adalah harta curi.

Ketika kejadian polis yang mengadakan pemantauan di Jalan Benting Lintang Besut, telah terserempak dengan kereta yang dilaporkan hilang sehari sebelumnya (24 Dis) sebelum polis mengejarnya di jalan besar Kampung Pengkalan Kubur, Kampung Raja, Besut.

Pemandu kereta tersebut terbabas di tepi kiri jalan dan didapati kelibat seorang wanita keluar dari kereta tersebut dan melarikan diri ke semak berhampiran.

Polis menjumpai dompet suspek sehingga membolehkan polis mengesan wanita itu pada sebelah petangnya.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa polis, Insp Miky Dustan Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang berasal dari Lot 1177, Kampung Kor Batu 8, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih lima tahun. -BERNAMA

Artikel Lain