suria

KDN Sambut Baik Keputusan KPT Henti Beri Visa Ketibaan

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menetapkan warga asing yang ingin melanjutkan pengajian di negara ini mengemukakan permohonan Pas Pelajar sebelum masuk ke Malaysia selain disyaratkan menyertakan surat pengesahan tawaran daripada institusi yang berkenaan.

Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam berkata tindakan itu sejajar dengan keputusan bersama yang dicapai agensi kawal selia yang ditubuhkan penghujung tahun lepas yang dianggotai kementerian itu bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia.

"Dengan keputusan itu, Pas Pelajar kini hanya akan dikeluarkan kepada mereka yang telah sah mendapat tempat untuk tujuan menyambung pengajian.

"Ia sekali gus meminda peraturan sebelum ini yang membenarkan warga asing masuk dan berada di negara ini selama tiga bulan menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi meninjau institusi yang bersesuaian keperluan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian itu akan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas berkenaan.

Mohamed Khaled berkata kementerian itu hanya akan mengeluarkan visa pelajar kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta kelolaan kementerian.

Sehubungan itu, kata Mahmood Jabatan Imigresen akan diperketatkan proses pengeluaran visa dengan kerjasama agensi kawal selia sebagai pihak yang bertangungjawab menguruskan kemasukan pelajar asing ke negara ini.

"Keputusan ini diambil berikutan peningkatan kes penyalahgunaan Pas Pelajar oleh warga asing, khususnya membabitkan jenayah berkaitan dadah dan pelbagai kesalahan di bawah akta dan peraturan Imigresen," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain