suria

Senarai 50 Syarikat Teras Bumiputera Di Bawah Teraju

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis telah mengumumkan bahawa sebanyak 50 syarikat teras Bumiputera baru dipilih di bawah program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) menjadikan jumlah kesemuanya kini sebanyak 80 syarikat.

Difahamkan, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang berperanan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif Bumiputera yang efektif dan cekap dalam program Teras akan menambah jumlah ini kepada 600 buah syarikat.

Najib telah menegaskan, tidak semestinya kesemua syarikat berkenaan akan ditawarkan kontrak kerajaan tetapi apa yang lebih penting ialah untuk membangunkan keupayaan pengurusan, teknikal dan kewangan mereka.

“Ia juga akan membantu syarikat-syarikat tersebut untuk berkembang secara inovatif dan memajukan pelan perniagaan mereka di bawah Teraju,” kata Najib lagi.

Menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan beliau pada Khamis, sebanyak 50 syarikat Bumiputera ditambah berbanding 30 syarikat dalam fasa pertama pada 26 November tahun lalu.

“Majlis (MTAB) turut memutuskan supaya SME Corporation menjadi rakan kongsi pintar kepada Teraju untuk membangunkan 80 peratus syarikat Bumiputera yang kebanyakannya merupakan usahawan mikro dari segi pembungkusan agar perolehan syarikat dapat ditingkatkan,” kata Najib.

Teraju merupakan salah satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan pada 2 Februari 2011 bertujuan untuk menerajui, memacu dan menyelaras agenda Bumiputera iaitu sebahagian daripada Pelan Transformasi Negara ke arah negara maju, berpendapatan tinggi dan berdaya tahan serta berdaya saing.

Program Teras memberikan akses peluang perniagaan baru, pembiayaan, guna tenaga berbakat dan perkhidmatan nasihat perniagaan kepada syarikat yang dipilih.

Ini termasuk perolehan kerajaan di mana Kementerian Kewangan dan kementerian lain akan mengenal pasti peluang yang khusus daripada projek sedia ada.

Selain itu, syarikat Bumiputera di bawah Teras juga akan diberi keutamaan untuk membuat bidaan dengan syarat mereka mengemukakan bidaan berdaya saing.

50 syarikat Bumiputera yang baru disenaraikan dalam program Teras adalah seperti berikut:

1. Sinar Jernih Sdn Bhd yang berpusat di Selangor menyediakan perkhidmatan Integrated Facilities Management Services (IFMS) untuk penyelenggaraan bangunan, lapangan terbang, hospital, kompleks membeli-belah dan sebagainya.

2. Tisisit Sdn Bhd menyediakan Khidmat Runding dalam hiasan dalaman serta pengeluar perabot terutamanya perabot pejabat. Syarikat memiliki kilang membuat perabot berlokasi di Puchong, Selangor dan Muar, Johor. Syarikat mempunyai pejabat pasaran di India, China dan Arab Saudi.

3. PBJV Group Sdn Bhd adalah syarikat yang menyediakan perkhidmatan dalam pemasangan dan penyelenggaraan paip "onshore‟ dan "offshore‟ untuk industri minyak & gas. PBJV beribu pejabat di Selangor dan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di rantau ini.

4. Cakara Maritime Sdn Bhd adalah syarikat yang beribu pejabat di Selangor dan menyediakan perkhidmatan perkapalan seperti bot, bot tunda, tongkang besar, bot pelbagai guna, bot penumpang laju dan pelbagai jenis bot lagi.

5. Zelleco Engineering Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan untuk industri telekomunikasi dalam pembuatan menara telekomunikasi. Syarikat ini mempunyai kebolehan dari segi kejuruteraan, pembuatan serta pembinaan menara tersebut. Memiliki kilang membuat struktur besi di Rawang, Selangor.

6. Automotive Performance Development Sdn Bhd merupakan syarikat penjualan, penyelenggaraan dan menaik taraf kenderaan. Beroperasi dari sebuah bangunan serba moden di Shah Alam, Selangor dan dilengkapi alatan moden.

7. Rubana Resources Sdn Bhd adalah syarikat aksesori kenderaan yang berpusat di Putrajaya dan memiliki “UNIMEC Skills Academy”, iaitu institut teknikal untuk melatih para pelatih dari segi penyelenggaraan hawa dingin kenderaan, memasang aksesori kereta, servis kereta dan lain-lain.

8. IC Microsystems Sdn Bhd merupakan syarikat berteknologi tinggi yang mengeluarkan “Fabless Integrated Circuit” untuk pasaran dunia. Syarikat beroperasi di Cyberjaya.

9. ECE Technologies Sdn Bhd sebuah pengeluar dan penjual barangan elektrikal seperti kipas, mesin pencuci baju, penghawa dingin di bawah jenama ECE. Pihak syarikat juga adalah OEM (Original Equipment Manufacturer). Produk keluaran syarikat diekspot ke Arab Saudi, Nigeria, Mesir, Indonesia dan India.

10. Matrix Power Network Sdn Bhd merupakan pengeluar jentera janakuasa untuk industri tenaga. Syarikat juga terlibat dalam industri maritim dalam bidang elektrikal. Beroperasi dari Bangi, Selangor.

11. Exact Engineering Sdn Bhd adalah syarikat kontraktor telekomunikasi yang beribu pejabat di Kota Kinabalu. Menyediakan khidmat pemasangan kabel dan kerja-kerja kejuruteraan sivil.

12. Nasmir Hard Gelatin Capsules Sdn Bhd merupakan pengilang dan pengeluar kapsul gelatin Halal. Beroperasi dan memiliki sebuah kilang di Pulau Pinang.

13. Natural Wellness Holdings (M) Sdn Bhd yang beribu pejabat di Kuala Lumpur adalah sebuah syarikat pengeluar produk berasaskan herba Halal di bawah jenama “Natural Wellness”.

14. Mydin (M) Holdings Sdn Bhd adalah salah sebuah syarikat pemborong, pembekal dan peruncit Bumiputera yang terbesar dalam negara.

15. Dewina Food Industries Sdn Bhd merupakan pengeluar produk makanan di bawah jenama Brahim’s di pasaran tempatan dan luar negara. Syarikat beroperasi di Bangi, Selangor.

16. Ranhill Utilities Sdn Bhd merupakan syarikat Malaysia yang pertama menggunakan pendekatan mengurus air dari sumber ke pengguna. Mempunyai konsesi di India, China, Thailand dan Arab Saudi. Beribu pejabat di Kuala Lumpur.

17. Selia Selenggara Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan bangunan yang beribu pejabat di Melaka.

18. Agensi Pekerjaan Careerxcell Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan “headhunting” taraf eksekutif untuk pelbagai industri. Ibu pejabat di Kuala Lumpur.

19. Zenn HRB Sdn Bhd adalah pengilang dan pengeluar “pre-stressed spun concrete poles” (PSCP) untuk kegunaan TM, TNB, KTM dan beribu pejabat di Perak.

20. Kulitkraf Sdn Bhd menghasilkan pelbagai barangan kulit untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Mempunyai kilang di kawasan industri di Petaling Jaya, Selangor.

21. RPM Engineers Sdn Bhd yang beribu pejabat di Selangor menawarkan khidmat nasihat pengurusan dan kejuruteraan.

22. Orogenic Holdings Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan analisa data, analisa geologi, penilaian aset dan eksplorasi, perkhidmatan geoteknikal, “mudlogging” dan “gyroscope” untuk industri minyak & gas. Syarikat beribu pejabat di Shah Alam.

23. TMM Engineering Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang beroperasi di Dungun, Terengganu menawarkan khidmat kejuruteraan untuk industri minyak & gas.

24. Hadid Engineering (M) Sdn Bhd menawarkan khidmat kejuruteraan mekanikal, sivil dan elektrikal kepada industri minyak & gas. Syarikat beribu pejabat di Putrajaya.

25. Burnmark Industries Sdn Bhd merupakan pengilang komponen kenderaan dan juga sebuah syarikat kejuruteraan automotif yang beroperasi di Selangor.

26. Amat Teknik Sdn Bhd adalah sebuah syarikat pengeluar “nuts”, “bolts” dan “metal stamping” untuk industri automotif. Mempunyai sebuah kilang di Klang, Selangor.

27. MM Vitaoils Sdn Bhd adalah syarikat pengilang, pemasar dan pengekspot minyak masak berasaskan kelapa sawit. Beribu pejabat di Shah Alam, Selangor.

28. Hyrax Oil Sdn Bhd yang beribu pejabat di Kuala Lumpur mengilang, mengeluar dan memasarkan minyak transformer dan lubrikasi untuk industri tenaga dan pemotoran.

29. Misa Sdn Bhd adalah pengeluar meter elektrik dan beroperasi di Shah Alam, Selangor.

30. HHI Power Sdn Bhd membekal barangan kejuruteraan kepada berbagai industri dan beroperasi di Selangor.

31. Topaz Integrated Technology Sdn Bhd menawarkan khidmat khusus kejuruteraan seperti “Industrial Automation”, SCADA dan khidmat mekanikal dan elektrikal. Beribu pejabat di Kulim Hi Tech Park, Kedah.

32. KAT Technologies Sdn Bhd adalah antara syarikat yang pertama dalam pengedaran kad prabayar Celcom. Beribu pejabat di Selangor.

33. Teliti Computers Sdn Bhd yang beribu pejabat di Selangor terlibat dalam bidang teknologi maklumat.

34. System Consultancy Services Sdn Bhd adalah syarikat teknologi maklumat yang khusus dalam bidang maklumat dan pengurusan “intelligence”. Ibu pejabat di Kuala Lumpur.

35. Hopetech Sdn Bhd yang beribu pejabat di Kuala Lumpur adalah sebuah syarikat teknologi maklumat. Bidang pengkhususan syarikat ini adalah rekacipta pembayaran elektronik (e-payment) untuk sektor pengangkutan.

36. NuSuara Technologies Sdn Bhd terlibat dalam sektor teknologi maklumat dan telekomunikasi seperti “Community Broadband Centre” (CBC) dan beribu pejabat di Mid Valley City, Kuala Lumpur.

37. Asiaspace Sdn Bhd yang beribu pejabat di Kuala Lumpur menyediakan khidmat penyewaan infrastruktur telekomunikasi dan menara-menara telekomunikasi.

38. Dura-Mine Sdn Bhd yang beroperasi di Selangor mengeluarkan “high density polyethylene” untuk kabel gentian fiber terutamanya dalam sektor telekomunikasi.

39. SD Card Technologies Sdn Bhd yang beroperasi di Selangor mengeluar dan membekal kad dan komponen optikal sekuriti.

40. Taiace Engineering Sdn Bhd adalah pengeluar “metal cabinet” berlokasi di Nilai, Negeri Sembilan. Produk keluaran syarikat keselurahan adalah untuk pasaran eksport.

41. ZER Plastic Sdn Bhd menghasilkan paip plastik bermutu tinggi yang banyak digunakan dalam sektor telekomunikasi dan sektor air. Ibu pejabat di Kuala Lumpur.

42. Televenture Sdn Bhd, syarikat yang beroperasi di Selangor adalah sebuah syarikat kejuruteraan khusus untuk industri telekomunikasi dan elektronik.

43. Kabaz Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan berhubung LAN, WAN, internet, e-networking, VOIP, VPN dll. Syarikat ini beribu pejabat di Shah Alam, Selangor.

44. Significant Technologies Sdn Bhd adalah pengeluar produk berkaitan fiber optik dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

45. CMC Engineering Sdn Bhd adalah syarikat bertaraf ISO 9001:2008 dan Cisco “Premier Certified Partner” dan berpusat di Ampang, Selangor.

46. Quark Energy System Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan animasi, simulasi, permainan berasaskan 3D and teknologi “realtime” secara 3D. Syarikat beroperasi di Kuala Lumpur.

47. NAZ Medical Supplies Sdn Bhd membekal barangan untuk industri perubatan. Syarikat ini beroperasi di Puchong, Selangor.

48. Halagel (M) Sdn Bhd adalah pengeluar kapsul gelatin Halal dan syarikat beroperasi di Kedah.

49. Foresight Industries Sdn Bhd pengilang dan pembekal barangan perubatan dan barangan pembedahan. Beroperasi di Selangor.

50. Benteng Kerjaya Sdn Bhd memiliki dan mengurus pusat latihan yang bernama Institut Skill-Tech(IST). IST adalah institut swasta terbesar di Malaysia berasaskan pertanian. Kampus utama di Melaka.

Artikel Lain