suria

Gara-Gara RM50 Dan RM150, Tiga Penguatkuasa Sempadan Didakwa SPRM

PASIR MAS: Gara-gara menerima suapan sebanyak RM50 dan RM150, dua pegawai kastam dan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah yang didakwa dilakukan mereka di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Rantau Panjang.

Pegawai Kastam, Zainal Ismail, 45, Pembantu Penguasa Kastam, Azahar Mohamad, 37, dan Ketua Pembantu Penguatkuasa JPJ, Che Mat Nor Ali, 53, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Irwan memerintahkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 25 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Zainal yang bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Kastam dituduh menerima suapan wang RM50 daripada seorang individu sebagai upah supaya tidak melakukan pemeriksaan secara menyeluruh ke atas sebuah van.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut pada pukul 8.25 pagi, 20 Nov lalu di CIQ itu.

Azahar pula dituduh menerima suapan RM50 daripada seorang indvidu supaya tidak melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas sebuah van pada pukul 10.45 pagi, 4 Dis lepas di CIQ yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda jumlah lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Che Mat Nor dituduh menerima suapan RM150 daripada seorang individu supaya tidak melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas sebuah van yang membawa barangan yang belum lulus Kastam pada 19 Okt lalu di Stesen Kawalan Sempadan, Rantau Panjang.

Dia dituduh melakukan kesalahan menurut Seksyen 213 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tiga tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syafinas Shabudin. Peguam Mohd Hasif Hassan mewakili Zainal manakala Azahar dan Che Mat diwakili peguam Mohd Faizal Hazim Abdul Rahman. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain