suria

Garis Panduan Penubuhan Taska, Tadika Dijangka Selepas Mac 2012

ALOR SETAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperkenalkan satu garis panduan bagi penubuhan taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) sebagai piawaian supaya penubuhan Taska dan Tabika dijalankan secara teratur.

Menterinya, Datuk Chor Chee Heung berkata, ketika ini banyak Taska dan Tabika yang tidak berdaftar dan apabila garis panduan itu dilaksanakan, dijangka selepas Mac tahun depan, penubuhan Taska dan Tadika akan mengikut syarat dan kriteria yang dirangka kementerian itu.

Katanya, beliau telah membentangkan garisan panduan itu kepada Jemaah Menteri dan dipersetujui, dan beliau akan membentangkan garis panduan itu kepada Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan untuk kelulusan bagi dikuatkuasakan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Garis panduan ini akan memastikan penubuhan Taska dan Tabika ikut kriteria. Kita tidak akan benarkan Taska dan Tabika dibuka sesuka hati. Untuk membuka Taska, pertama kena daftar dengan Kementerian Pelajaran dan kemudian memohon kepada PBT untuk kelulusan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan khas Anggota Parlimen Alor Setar kepada Kemas di Pejabat MCA Bahagian Alor Setar di sini, Jumaat.

Chor yang juga Anggota Parlimen Alor Setar berkata, selepas garis panduan itu dikuatkuasakan nanti, penubuhan Taska dan Tabika harus mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam garis panduan itu sebelum Taska atau Tabika boleh diwujudkan.

"Ini bagi Taska dan Tabika yang baru hendak diwujudkan. Yang dah tubuh kita tidak akan kacau langsung. Ini bagi memastikan Taska dan Tabika lebih teratur pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa sedihnya dengan kejadian empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda yang cedera selepas jentera yang mereka naiki merempuh rumah seorang penduduk di Jalan Pasir Gebu, Penaga, Kepala Batas dua hari lepas.

Katanya, beliau difahamkan kejadian itu berlaku apabila jentera yang dinaiki lima anggota itu cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba muncul dari arah bertentangan menyebabkan ia terbabas lalu merempuh rumah orang.

"Saya telah beri sedikit bantuan. Ini supaya mereka dapat terus menjalankan tugas dengan cemerlang walaupun orang ramai mungkin tidak begitu menghargai peranan mereka selain cabaran yang dihadapi.

"Masyarakat kadang-kadang lupa jasa Bomba jika tiada masalah yang berlaku seperti kebakaran dan kemalangan. Mereka hanya diperlukan bila ada masalah ataupun tragedi kerana pada ketika itu baru mereka dipanggil," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

SPRM Memang Sedang Siasat NFC

Artikel Berikut

14 Warga Asing Ditahan

Artikel Lain