suria

Anggota PKR Cedera Terjatuh Dari Rumah

SHAH ALAM: Seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cedera di pergelangan tangan kanan, kaki kiri dan mukanya dipercayai terjatuh dari tingkat satu sebuah rumah di Kompleks Perumahan SUK di Seksyen 7 di sini, pagi Ahad.

Yahya Talib, 49, dari Kampung Nelayan Telok Gong, Klang yang bekerja sebagai pemandu kren di Pelabuhan Klang kini, menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Beliau yang pada mulanya dirawat di unit kecemasan di hospital berkenaan dipindahkan ke Unit Pembedahan dan Pergigian hospital yang sama kira-kira 3.30 petang ini. Yahya, yang sudah berkahwin dan dipercayai aktif dalam PKR sejak tiga tahun lepas, kini stabil tetapi tidak boleh bercakap banyak.

Difahamkan sebelum kejadian, Yahya menghadiri satu program bersama kira-kira 70 anggota PKR di Kompleks Perumahan SUK itu selama dua hari satu malam.

Ketua Siasatan Jenayah Shah Alam DSP Kamaruddin Ismail ketika dihubungi berkata mangsa dijumpai di bahagian bawah balkoni rumah tiga tingkat berkenaan dalam keadaan tertiarap dan hanya memakai seluar dalam oleh rakan sebiliknya yang baru pulang dari menunaikan solat subuh.

Beliau berkata rakan sebilik mangsa kemudian menghantarnya ke hospital sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini.

"Berdasarkan maklumat awal, rakan sebilik mangsa menyatakan kali terakhir dia melihat Yahya ialah sebelum tidur iaitu kira-kira 1 pagi dan ketika dia bangun untuk menunaikan solat subuh, Yahya didapati tiada dalam bilik.

"Rakan sebiliknya menyangka mangsa sudah ke surau di kawasan itu dan selepas balik dari surau rakan sebilik Yahya menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan sesak nafas," katanya.

Kamaruddin berkata pihaknya sedang menunggu laporan sinar-x mangsa dan pada masa ini kes itu disiasat sebagai kes kemalangan. - BERNAMA

Artikel Lain