suria

63 Warga Asing Ditahan Dalam Ops 6P Di Nilai

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 63 orang warganegara asing termasuk seorang wanita dan seorang bayi lelaki dalam satu operasi khas yang dikenali Ops 6P di kawasan Taman Semarak Nilai dan juga kedai runcit di sekitar Nilai malam Jumaat.

Pengarahnya Faizal Fazri Othman berkata warga asing yang paling ramai ditahan ialah 37 orang Bangladesh, Nepal (15), Myanmar (8) dan Indonesia (3).

"Antara kesalahan yang dilakukan mereka termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa. Kesemua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Operasi yang bermula pukul 8.30 malam tadi sehingga 5.15 pagi ini membabitkan 70 pegawai Imigresen, 50 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan enam pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Faizal Fazri berkata seramai kira-kira 1,000 orang warga asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu 780 orang telah disaring. BERNAMA

Artikel Lain