suria

Warga Emas Dipenjara Tiga Bulan Sebabkan Kematian Penghantar Surat

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas hari ini dikenakan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang penghantar surat, dua tahun lepas.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu terhadap Khong Hin Yee, 67, selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mohamad Sekeri dalam penghakimannya berkata keterangan daripada tertuduh yang menyatakan dia hanya membawa kereta dengan kelajuan 40 hinga 50 kilometer sejam adalah tidak munasabah.

"Ini kerana sekiranya tertuduh membawa kereta perlahan bagaimana keretanya boleh melanggar dan terkena pembahagi jalan, " katanya.

Mohamad Sekeri berkata keterangan saksi kelima pendakwaan iaitu Norakmal Wang Abdullah yang menyatakan beliau nampak tertuduh memandu laju dan melanggar si mati adalah munasabah berikutan tertuduh memandu laju untuk mengejar motosikal yang dinaiki mangsa.

Khong didakwa telah menyebabkan kematian Mohd Syafie Abd Latif, 28, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya berhampiran lampu isyarat, Jalan Permaisuri 3, Salak Selatan, Cheras dekat sini pada pukul 9.30 pagi, 21 April 2009.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda. Terdahulu peguam G. Jegathesan yang mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan atas alasan umur anak guamnya yang sudah tua serta rumah yang didiami tertuduh di Chan Sow Lin dekat sini akan dirobohkan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim memanggil lapan orang saksi manakala pembelaan memangil dua saksi sepanjang prosiding itu berlangsung. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Artikel Lain